Saturday, November 19, 2011

Bab Dua-Marissa yang pelik.

    Setelah selesai menunaikan solat Isyak, Ana mula menyusun bukunya mengikut jadual. Selesai sahaja menyusun buku, dia beraleh pula ke meja belajarnya. Ana membuka laci meja belajarnya lalu dia mengambil sebuah komputer ribanya yang berwarna merah jambu dan meletakkannya di atas meja. Dia memulakan 'operasi malamnya' itu.

    Operasi yang dikatakan adalah operasi berfacebook. Setelah selesai menjenguk muka bukunya itu, dia beraleh pula kepada laman chatting Yahoo Messenger. Tiba-tiba muncul tetingkap kecil di skreen komputer ribanya.

LindaBukanOnn : Hello kawan !

    Ana tersenyum sendiri apabila melihat sahabat baiknya Linda menghantar mesej di kotak chatting. Linda merupakan sahabat baiknya sejak dia berumur enam tahun lagi. Mereka selalu bersama walau di mana sahaja. Tetapi sejak ibu Ana, Puan Adila mendapat tawaran bekerja di Kuala Lumpur, mereka telah berpisah. Namun demikian, perpisahan itu sedikit pun tidak menjejaskan persahabatan sejati mereka. Mereka masih lagi berhubung melalui telefon. Lebih-lebih lagi teknologi sekarang yang membolehkan perhubungan 3G.

    Ana sering dilanda geli hati tatkala melihat username Yahoo Messenger Linda yang pelik itu. Linda pernah bercerita kepadanya berkenaan dengan ilham yang dia dapat sehingga terciptanya nama 'LindaBukanOnn' itu. Katanya dia takut orang keliru antara dia dengan 'Linda Onn' artis terkenal itu, disebabkan itulah terciptanya nama 'LindaBukanOnn'.

LindaBukanOnn : Hai, senyap je. Taknak cakap dengan kite dah ke.

Awie_fiyaHana : Eh, sape kata kite tak nak cakap dengan awak.
                Kite mengelamun tadi, sorry eh.

LindaBukanOnn : Mengelamun ape? Ha, teringat pak we mana ni?
                Entah-entah baru pindah je dah ada ' fan '.

Awie_fiyaHana : Wak aloh, ape yang awak merepek ni...Awak macam
                mana, sihat?

LindaBukanOnn : Alhamdulillah, sihat je. So macam mana? Dah dapat
                pengganti saya ke?

Awie_fiyaHana : Pengganti awak? Saya takkan gantikan awak dengan
                siapa pun. Awak hanya satu..


LindaBukanOnn : Aww, terharu saya ! Sayang jugak awak kat saya
                ye...

Awie_fiyaHana : Mestila !... Linda, sampai sini je ye. Saya tak
                makan malam lagi ni. Nanti ibu marah pula.

LindaBukanOnn : Oh, baiklah kalau macam tu. Jangan lupa kirim
                salam kat Mak Cik Adila.

Awie_fiyaHana : Okey, bye assalamualaikum.

LindaBukanOnn : Wa'alaikumussalam. :)

  
  " Ana, mari turun makan !" Terdengar suara Puan Adila terjerit memanggil Ana.

"Baik ibu!" Ana menjawab panggilan ibunya. Dia menyimpan semula komputer ribanya lalu beredar menuju ke dapur.
.........................................

    "Belajar rajin-rajin ye," pesan Puan Adila.

"Ya, hari-hari pun ibu cakap macam tu." Kadang-kadang, Ana berasa bosan dengan pesanan ibunya itu. Boleh dikatakan hampir setiap hari apabila dia hendak ke sekolah, itulah pesanan ibunya. Walaupun Ana bosan dengan ayat yang sama ibunya selalu pesan, namun pesanan itu membawa banyak makna kepada dirinya. Al-maklumlah kata-kata ibukan doa.

"Ibu pergi dulu ya!" Puan Adila mula memandu keretanya lalu beredar dari perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Perma Damai.
"Bye ibu !" jerit Ana sambil melambai-lambai kepada ibunya. Setelah kelibat kereta ibunya tidak kelihatan, Ana memulakan langkahnya menuju ke kelas Satu Cerdik.

    Setibanya Ana di hadapan pintu kelas, kelihatan Marissa sedang membaca sebuah novel.
"Hai Marissa, baca novel apa tu?" tegur Ana.

    Marissa menoleh pandanganya kepada Ana lalu menjawab,"...tak nampak ke tajuk novel ni tertera besar di muka depannya."
    Ana terkejut tatkala mendengar jawapan Marissa yang agak kurang sopan itu. " Ya, saya nampak. Ia tertulis 'Keseronokan Roh Kembali Menemui Allah'."

"Kalau dah tahu kenapa tanya?" Marissa menyoal Ana lalu dia menyimpan novelnya itu di dalam beg sekolah. 

   'Apehal budak ni? Orang tanya elok-elok jawab macam tu. Peliknya, semalam bukan main happy nak kawan dengan aku' getus hati Ana. Dia malas hendak melayan sikap Marissa itu lalu dia mula berjalan menuju ke tempat duduknya.
    "Hai, awak ni budak baru dalam kelas inikan?" soal seorang pelajar perempuan.

"Ya saya," Ana menjawab ringkas.

"Saya dengar, awak berkawan dengan budak tocang dua tu kan?"pelajar itu menyoal lagi. Ana terasa seperti seorang penjenayah yang sedang disiasat.

"Aaa, yelah. Kenapa awak tanya macam ni? Awak tak berkawan dengan dia ke?" giliran Ana pula menyoal pelajar itu.
"Siapa pun tak berani nak berkawan dengan dia. Dia tu sewel. Kejap mood baik, kejap mood panas baran, jadi saya nasihatkan lebih baik awak jangan kawan dengan dia," ujar pelajar tersebut.

"Eh, tak baikla cakap begitu! Mungkin dia datang bulan agaknya, sebab itula jadi macam tu," Ana cuba menafi kata-kata pelajar itu.

"Datang bulan? Tolonglah! Takkanlah setiap minggu datang bulan. Kalau awak tak percaya, kawanla dengan budak tu. Silap hari bulan, awak pun jadi sewel seperti dia." Pelajar perempuan itu mula beredar meninggalkan Ana.

    Ana berasa musykil. Kemungkinan ada betulnya kata-kata pelajar itu. Semalam Marissa kelihatan 'happy' saja tetapi hari ini lain macam saja perangainya.

.......................................

    Setelah menghirup kuah mi kari buat kali terakhir, Ana mengeluarkan sapu tangannya dari kocek baju lalu mengelap mulutnya.

    "Hai Ana!" Ana disergah oleh satu suara. Dia menoleh kepada suara itu. Rupa-rupanya Marissa yang menegurnya.

    Ana menoleh,"..oh, awak rupa-rupanya Marissa. Marilah makan sekali."

"Tak mengapalah, saya tak makan waktu-waktu macam ni," ujar Marissa. Marissa duduk lalu mengeluarkan novel yang dibacanya pagi tadi.

"Nah, awak nak pinjam buku inikan?" soal Marissa sambil  menyerahkan novel tersebut.

    Ana terpinga-pinga tatkala Marissa meyerahkan novel itu kepadanya. 'Aku tak ada pula minta novel dia, mungkin dia ingat aku nak pinjam novel dia agaknya' fikir Ana sendirian.

"Ana?" Marissa mula menegur Ana yang sejak tadi mendiamkan diri.

"Oh ya ! Awak baca dululah novel itu sampai habis, nanti bila awak dah selesai membaca baru saya pinjam," ujar Ana.

"Hurmm, baiklah,"jawab Marissa ringkas.

Monday, November 14, 2011

Bab Satu-Sekolah Baru.

    "Ana Awfiyah. Hurm, sedap nama itu," ujar Puan Maznah.

"Terima kasih puan, " Ana menjawab pujian Puan Maznah sambil tersenyum. Dia berasa teruja kerana namanya diber pujian.

    Puan Maznah menyelak helaian-helaian borang pendaftaran yang disemaknya. Tiba-tiba beliau berhenti menyelak helaian borang tersebut lalu membaca isi pendaftaran yang tertera di muka surat yang diselaknya.

"Ayah kamu sudah meninggal dunia? " soal Puan Maznah kepada Ana yang sedang leka bermain dengan jarinya itu. Soalan guru tersebut membuatkan Ana terkedu seketika.

"Ana? " tegur Puan Maznah. Beliau mula rasa bersalah kerana mengajukan soalan tersebut.

"Ya cikgu, ayah saya sudah lama meninggal dunia sejak saya berumur 10 tahun lagi," ujar Ana yang sekian lama mendiamkan diri itu.

"Oh, maafkan saya! Saya turut bersimpati," jawab Puan Maznah. "Baiklah, saya sudah selesai menyemak borang ini. Ini fail-fail yang perlu awak simpan dan awak akan dimasukkan ke kelas Satu Cerdik," Puan Maznah menyerahkan fail-fail yang dikatakannya kepada Ana. Beliau kemudiannya membawa Ana ke kelas Satu Cerdik.

Di kelas Satu Cerdik,

    "Baiklah kelas, duduk di tempat masing-masing! " Suara Puan Maznah yang nyaring itu telah membuatkan semua pelajar Satu Cerdik berhenti berbual lalu membawa diri masing-masing ke meja mereka.

"Bangun! " jerit salah seorang pelajar lelaki. " Selamat pagi cikgu! "

"Selamat pagi cikgu! " bergema suara pelajar-pelajar Satu Cerdik memberi salam.

"Selamat pagi semua. Kamu semua dibenarkan duduk," kata Puan Maznah. " Hari ini kamu semua akan menerima seorang kawan baru. Ana, sila perkenalkan diri kamu."

    Ana memandang pelajar-pelajar di hadapannya silih berganti lalu memulakan sesi pengenalan diri. "Hai, assalamualaikum. Saya pelajar baru yang akan menyertai kamu semua. Nama saya Ana Awfiyah Binti Muhammad. Saya berasal dari Johor Bahru." Ana menghembus udara yang dihirupnya tanda lega. Dia berasa sedikit gementar kerana masih baru di sekolah itu.

"Hai, saya I'mal ! Saya ketua tingkatan kelas ini," jerit seorang pelajar lelaki.

   Ana tersenyum. Dia dapat merasakan bahawa dia semakin selesa selepas pelajar itu menegurnya. Ana juga dapat merasakan pelajar-pelajar di hadapannya itu pasti peramah orangnya.

......................................

   "Hai Ana! Kenalkan nama saya Marissa Ahmad," tegur seorang pelajar perempuan yang kemas bertocang dua itu.

   Ana yang leka menulis sesuatu di atas buku notannya menolehkan pandangannya kepada pelajar perempuan tersebut sambil tersenyum. "Saya Ana Awfi...."

"Awfiyah!" Marissa memotong kata-kata Ana. "Saya tahu nama awak. Bukankah awak baru sahaja perkenalkan diri di hadapan kelas tadi?"

"Oh ya, lupa pula saya. Terima kasih kerana sudi berkenalan dengan saya," ujar Ana sambil tersenyum mesra.

"Perkara biasa. Saya memang suka cari kawan baru," kata Marissa dengan megah,"...tapi saya tak pernah ada kawan baik." Marissa mengeluh.

"Kalau begitu, biar saya jadi kawan baik awak," kata Ana.

"Eh, awak serius? " soal Marissa teruja.

"Yup!" jawab Ana. Ana dapat merasakan bahawa Marissa merupakan seorang yang baik hati. Dia sudah bertekad untuk menjalinkan persahabatan dengan pelajar bertocang dua itu.

"Wah, terima kasih banyak-banyak !" jerit Marissa lalu memeluk Ana. Ana terkejut akan reaksi luar kawalan Marissa itu namun dia berasa amat gembira kerana mendapat seorang rakan yang baik pada hari pertamanya di sekolah itu.

.............................................

    "Assalamualaikum ibu, Ana dah balik! " jerit Ana. Dia meletakkan beg sekolahnya di atas sofa ruang tamu lalu berlari-lari anak menuju ke dapur.

"Emm, sedapnya bau! "ujar Ana sambil tersenyum menghidu gulai ayam yang siap terhidang di atas meja itu.

"Eh, anak ibu dah balik! " Puan Adila yang sejak tadi menhilangkan diri tiba-tiba muncul di hadapan pintu dapur.

"Ibu,terkejut Ana dibuatnya. Ibu ke mana tadi? Bila Ana sampai saja rumah, batang hidung ibu pun Ana tak nampak," Ana menyoal mesra kepada ibunya.

    Puan Adila berjalan menuju ke periuk nasi di atas meja makan lalu menyedok nasi ke dalam pinggan. "Ibu ada di dalam bilik tadi sebab itulah ibu tak sedar anak ibu dah balik."

"Ooo, begitu ceritanya," Ana mengangguk-anggukan kepalanya tanda faham.

"Ha, yang kamu tercegat lagi di situ kenapa? Pergi naik atas bersihkan diri lepas itu bolehlah ibu dengar cerita anak ibu pada hari permatanya di sekolah baru," ujar Puan Adila manja.

"Perlu mandi dulu ke? Ala, perut Ana dah berkeroncong dah ni ibu," Ana mula menggosok-gosok perutnya.

"Ya, lepas anak ibu mandi baru boleh makan," kata Puan Adila. Beliau memang seorang ibu yang mementingkan kekemasan dan kebersihan. " Okey tak?"

"Ok, " jawab Ana sambil memuncungkan mulutnya.

...................................................

    "Emm, nyam-nyam, delicious! Sedap ibu masak hari ni," Ana memuji masakan ibunya.

"Yeke? Ibu rasa macam biasa saja ibu masak hari ni. So, macam mana di hari pertama sekolah baru? " soal Puan Adila.

" Boleh tahan. Ana dapat kawan baru, nama dia Marissa Ahmad. Dia peramah dan baik hati cuma perangai dia pelik sikit," ujar Ana.

"Pelik macam mana tu?"

"Perangai dia macam kebudak-budakkan sikit."

"Amboi, cakap orang! Kamu tu apa kurangnya, dua kali lima je," sindir Puan Adila.

"Hehehe, tapikan ibu dia tu lain sikit. Katanya, orang lain tak suka berkawan dengannya," ujar Ana sekali lagi.

"Eh, kenapa jadi macam tu?" soal Puan Adila.

"Entahlah ibu, Ana lupa nak tanya," Ana kemudiannya beredar dari meja makan lalu menuju ke sinki dapur untuk mencuci tangan.

"Takpela, pelik macam mana pun sekurang-kurangnya kamu dah dapat kawan baru," kata Puan Adila.

    "Ya, betul cakap ibu! Ana ingat susah nak cari kawan bila masuk sekolah baru, rupa-rupanya nasib menyebelahi Ana! "kata Ana dengan bangga.

" Itu namanya rezeki. Ibu gembira tengok kamu dah happy macam dulu mula-mula ayah ada." Puan Adila mula berasa sebak apabila terkenangkan nasib arwah suaminya itu.

    "Ibu, perkara dah berlalu tu ibu janganla ingat lagi. Sekarang Ana dah cuba untuk melupakan ayah dan Ana nak mulakan hidup baru," ujar Ana. Bukannya dia sengaja melupakan ayahnya tetapi makin dia terkenangkan ayahnya semakin itulah sukar baginya untuk menerima kenyataan. Dia berazam untuk tidak lagi menangisi ayahnya yang telah pergi ke rahmatullah itu. Dia takut roh ayahnya tidak tenteram. Pada fikirannya, mungkin Tuhan lebih sayangkan ayahnya kerana itulah ayahnya pergi meninggalkan mereka dua beranak lebih awal sedangkan umur ayahnya masih terlalu muda.

.............................................